Muhyiddin terdesak – Najib
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin terdesak sehingga sanggup meminta untuk jawatan Menteri Kabinet baru termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata, tindakan Muhyiddin itu adalah untuk mengelakkan daripada lebih ramai pemimpin Bersatu meninggalkan parti berkenaan.
“Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri baru, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis-majlis dan jawatankuasa?
“Saya faham kenapa dia terdesak sehingga tahap ini.
“Dijadikan gula-gula untuk elak lagi ramai pemimpin-pemimpin Bersatu lompat keluar partinya seperti yang sedang berlaku sejak awal tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bagi membincangkan lantikan jawatan baru Menteri Kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), dilapor mencadangkan agar Majlis Pemulihan Negeri ditubuhkan segera.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berharap kerajaan tidak melayan tuntutan dan cadangan Ahli Parlimen Pagoh itu dan memberikan fokus pada pemulihan ekonomi serta mengawal inflasi.
“Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bukan jawatan didahulukan, ramai majlis-majlis ditubuhkan,” katanya. – Malaysiapost