KENYATAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia meletakkan jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) jika rakyat mahu ia dibubarkan, menerima maklum balas netizen yang ternyata mahukan pembubarannya.
Semakan di media sosial dan berdasarkan komen di laporan media berhubung kenyataan Pengerusi Bersatu itu, rata-rata netizen bersetuju MPN dibubarkan kerana tidak memainkan peranan dalam memulihkan keadaan negara.
Menurut warga maya, kewujudan MPN hanya menambah perbelanjaan dengan mengambil kira keperluan kerajaan membayar ‘gaji’ ahli majlis tersebut termasuk Muhyiddin yang bertaraf Menteri, sedangkan ekonomi negara semakin meruncing.
“Setuju sangat dengan cadangan bubar MPN. Habis duit rakyat bayar gaji pada ahli. Tapi tak nampak hasil malah rakyat makin tersepit,” kata Ramli Asma.
“Rakyat tak nampak apa-apa solusi yang dilakukan oleh MPN untuk menangani masalah kenaikan mendadak harga barang keperluan rakyat. Sewajarnya MPN dibubarkan,” ujar Jopri Abdullah.
“MPN patut bubar sahaja. Barang tetap naik. Pulih macam mana tak nampak, makin susah lagi ada,” kata Ruhani Kemaman.
Sebelum ini Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mendesak agar MPN dibubarkan kerana tidak lagi relevan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
Zahid berkata penubuhan pasukan khas itu bermakna MPN tidak lagi berkesan, perlu dan sejajar dengan usaha terbaru kerajaan untuk membantu rakyat.
Sambil menyatakan bahawa majlis itu gagal, Zahid juga berkata, MPN hanya platform untuk Muhyiddin memperbaiki imej dan partinya, Bersatu.
Sementara itu, Muhyiddin dalam maklum balas mengenai desakan itu menegaskan isu prestasi MPN adalah terserah kepada rakyat untuk menilai, bukannya berdasarkan pandangan orang politik.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak mahu mengambil pusing kenyataan orang politik kerana segelintirnya mempunyai muslihat dan agenda politik. – Malaysiapost


