Pembangkang fitnah kerajaan – Ismail Sabri

DAKWAAN kerajaan tidak peduli soal kenaikan harga barangan yang membelenggu masyarakat ketika ini hanyalah fitnah oleh pihak pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, kenaikan harga barangan adalah fenomena global dan kerajaan telah mengambil tindakan bagi memastikan harga barang tidak melambung tinggi.

“Isu yang terbesar hari ini adalah isu kos sara hidup, minggu lepas di Masjid Jamek Kampung Baru, satu parti pembangkang buat demonstrasi di dalam kawasan masjid, itu pun ada 40 orang saja yang sertai. Kalau buat kat luar tak ada orang yang nak sertai. Mereka buat pelbagai tuduhan.

“Kerajaan sedar banyak barang harga meningkat. Saya sendiri membuat tinjauan rambang di premis perniagaan…Fenomena kenaikan harga barang ini tak berlaku di Malaysia saja, ini fenomena global.

“…Kita subsidikan makanan ayam (ternakan), subsidikan harga ayam RM700 juta untuk pastikan harga ayam kekal dengan harga siling. Begitu juga dengan harga barangan asas lain, turut disubsidikan dan kerajaan belanja sebanyak RM70 bilion,” katanya mengulas mengenai demonstrasi diadakan parti Amanah di Masjid Jamek Kampung Baru, Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini.

Ismail Sabri turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan akan menghapuskan subsidi bermula 1 Jul lalu.

Menurutnya, tiada pembatalan subsidi bagi barangan keperluan asas kecuali penamatan subsidi minyak masak botol yang diperkenalkan kerajaan ketika Perintah Kawal Pergerakan (PKP).

“Subsidi apa dibatalkan, kita belanja RM4bilion untuk kekal RM2.50 sekilogram (harga minyak masak paket). Kalau tak subsidi RM9.50 sekampit satu kilogram.

“Jadi mereka terus berbohong seolah-olah tak ada Tuhan, kononnya 1 Jul semua subsidi ditarik balik,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights