Penganggur tekup kekasih hingga mati didakwa esok
SEORANG penganggur yang disyaki menekup kekasihnya dengan bantal sehingga mati di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang pada Selasa lalu, akan didakwa di Mahkamah Klang esok.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya telah mendapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pertuduhan ke atas suspek berusia 24 tahun itu.
Bagaimanapun, katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Suspek yang ditahan polis masih ditempatkan di lokap Klang. Pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Klang pada esok.
“Selain itu, kita masih menyiasat dan tidak boleh mendedahkan motif itu kerana ia akan membabitkan kes di mahkamah nanti,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan, polis menerima panggilan pada 3.40 pagi berhubung penemuan remaja perempuan berusia 16 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan memaklumkan hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di muka dan leher. – Malaysiapost