PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi disaran supaya memfokuskan perkara-perkara lebih fundamental atau asas yang menjadi faktor harga barang naik.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata antara fokus yang perlu diberikan adalah strategi meningkatkan keyakinan terhadap Ringgit Malaysia.
Menurutnya, pendekatan ampuh untuk menarik pelabur untuk melabur dalam negara juga perlu diberi penekanan, selain memastikan bekalan minyak masak paket yang disubsidi cukup dan ada di pasaran.
“Penguatkuasaan yang efektif bagi memastikan tiada sorokan bekalan (hoarding).
“Sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan Jaminan Keselamatan Makanan (food security) negara, kerajaan perlu merangka polisi yang dapat meningkatkan pelaburan industri yang terlibat dengan pengeluaran makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelaburan bagi meningkatkan pengeluaran input pertanian dan penternakan seperti dedak dan baja di dalam negara harus menjadi tumpuan.
Katanya, ia kerana dengan lebih banyak input pertanian dihasilkan dalam negara, maka kos pengeluaran makanan akan kurang terdedah dengan turun naik pergerakan mata wang pada masa hadapan.
Asyraf Wajdi berkata, strategi menangani inflasi makanan yang tidak terkawal juga memerlukan pendekatan holistik dari awal proses pengeluaran hingga kepada distribusi di pasaran.
“Ia memerlukan kerjasama semua pihak, dan pihak Kerajaan sahaja tidak dapat menjayakan misi ini.
“Semua strategi ini hanya berkesan jika negara punya sebuah kerajaan yang stabil dan kompeten. Jika dalam Kerajaan campuran bersifat hybrid terus dilihat goyah, pasti pemain-pemain industri dan pelabur dalam pasaran buat tak endah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan apa peranan Majlis Pemulihan ekonomi, Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Kos Sara Hidup dan lain-lain yang memakan jutaan kos.
“Malah banyak bidang kuasa juga nampak bertindan selain Menteri-menteri sama juga dalam Majlis-Majlis ini,” katanya. – Malaysiapost