Suspek, mangsa samun maut bergelut
SUSPEK dan mangsa yang juga warganegara asing maut selepas bergelut dalam kejadian samun di Taman Perindustrian Kepong hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.08 pagi, suspek berusia 50 tahun maut di tempat kejadian manakala mangsa berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki warga tempatan yang melihat seorang lelaki tertiarap diatas jalan dalam keadaan berlumuran darah.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian menemui suspek tertiarap di atas jalan dan sabit panjang digenggam di tangan kanan.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, semasa kejadian suspek datang ke premis dan berbual dengan mangsa, namun suspek secara tiba-tiba menyerang dan menetak mangsa menggunakan sabit panjang beberapa kali.
“Mangsa sempat mengambil kerusi plastik untuk mempertahankan diri dan senjata sabit itu turut terkena pada bahagian paha kiri suspek sendiri.
“Suspek pula terus berlari keluar dan terus rebah diatas jalan pada jarak lebih kurang 36 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainal Mohamed berkata, pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh bagaimanapun mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari. Motif kejadian disyaki cubaan samun sehingga menyebabkan kematian,” katanya. Malaysiapost