Tajuddin sokong Ismail Sabri kekal jadi PM
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan pendiriannya mahu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Pasir Salak itu secara terbuka mengulangi pendiriannya dihadapan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno dan disaksikan kira-kira 15,000 warga Pasir Salak, hari ini.
“Apa pun saya tetap setia dan sokong Perdana Menteri, biar apa pun orang kata pada dia, ada orang kata dia lembik lah, apa ke.
“Kenapa macam-macam tuduhan dibuat terhadap beliau, macam-macam dikata pada dia. Kita nak dia jadi Perdana Menteri selepas PRU.
“Dan selaku wakil rakyat di sini, kita di Pasir Salak akan beri sokongan yang padu kepada beliau,” kata beliau ketika berucap di kenduri rakyat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Pasir Salak.
Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu membuat pendedahan dalam satu sidang media 26 Jun lalu , mendedahkan 130 Bahagian Umno mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden Umno.
Menurutnya, gerakan menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diketuai Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dibantu Datuk Seri Najib Razak kerana bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai pengaruh.
Beliau turut mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) beberapa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Tajuddin berkata pembangunan di Kampung Gajah, Pasir Salak agak ketinggalan berbanding di tempat lain.
Demikian itu, beliau memohon Perdana Menteri supaya meluluskan projek bagi pembangunan di kawasan pinggir Sungai Perak supaya ia menjadi tarikan baharu yang boleh menjana ekonomi.
“Kita nak bangunkan tepi Sungai Perak satu bandar baru, tak ada masalah untuk perdana menteri selitkan sikit dalam bajet tahun depan, saya nak minta perdana menteri luluskan dari segi prinsipnya sudah cukup.
“Kampung Gajah tak ada banyak pembangunan, saya sedih juga. Tapi nak buat mcm mana saya wakil rakyat biasa, kalau menteri lain lah,” katanya.
Dalam masa sama, Ismail sabri yang berucap selepas itu berkata program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pasir Salak paling berjaya setakat ini.
Beliau berkata, dianggarkan lebih 40,000 hadir pada karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu. – Malaysiapost