Timbalan Menteri nafi pandang remeh kenaikan harga barang

TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyifatkan laporan media mendakwa beliau memandang remeh isu kenaikan harga barang, adalah fitnah dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ia adalah satu fitnah yang sangat besar dan tanpa berpegang kepada konsep dosa dan pahala dalam pekerjaan.

“Saya sangat rasa pilu apabila ada pemberita yang tak bertanggungjawab dan tak berpegang kepada konsep dosa dan pahala dalam pekerjaan mereka.

“Isu yang mengatakan saya memandang remeh terhadap kenaikan harga barang ada satu fitnah yang sangat besar dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pihak dikalangan pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan apa yang dinyatakan sebelum ini adalah kerajaan memandang serius terhadap kenaikan harga barang di negara dan di dunia secara umumnya.

“Maka antara tindakan pantas yang diambil oleh pihak kerajaan ialah memberikan kepada rakyat B40 bantuan-bantuan khas dan sekali gus akan mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan tersebut.

“Dengan adanya bantuan sebegini maka rakyat tidaklah menghadapi masalah besar dalam kehidupan mereka.

“Dengan ini saya menafikan apa yg difitnah oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini (semalam),” katanya.

Terdahulu, beberapa media melaporkan Nik Muhammad Zawawi sebagai berkata, kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada pengguna kerana kerajaan telah memberikan bantuan kewangan secara langsung.

Menurut laporan itu, Nik Muhammad Zawawi turut berpandangan rakyat negara lain berdepan situasi lebih teruk berbanding di Malaysia kerana kerajaan masih mempunyai keupayaan membantu rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights