Warga asing turut nikmati ayam subsidi – PM

PENGURANGAN subsidi harga ayam dilaksanakan bagi membolehkan ia disalurkan secara terus kepada rakyat melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata subsidi harga ayam yang diberikan kerajaan kini bukan saja dinikmati rakyat negara, malah juga warga asing.

Katanya, secara tidak langsung warga asing yang bekerja di negara ini turut menikmati subsidi harga ayam yang sepatutnya hanya dinikmati rakyat Malaysia.

“Kalau kita bagi subsidi ayam, bukan rakyat Malaysia saja untung. Pekerja asing juga dapat…Rohingya pun beli ayam subsidi.

“Sebab itu kita bagi duit BKM, kita tak nak bagi warga asing dapat faedah subsidi.

“Kita ambil sikit (kurangkan) bagi terus pada rakyat (melalui BKM), dulu (subsidi) RM1.40 sen kini RM1.20 sen,” katanya ketika berucap pada program kenduri rakyat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kampung Gajah, Pasir Salak hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata dengan pengurangan subsidi itu, kerajaan boleh menggunakannya bagi menambah jumlah BKM kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya memberi BKM sehingga RM2,600 setahun untuk kumpulan sasar.

Ismail Sabri berkata, jumlah BKM mungkin ditambah sekiranya isu peningkatan harga barangan terus berlanjutan.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam dan meneruskan subsidi, serta menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

Menurut Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee, Jemaah Menteri juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam gred A pada RM0.45 sen/biji; gred B (RM0.43 sen/biji) dan gred C (RM0.41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur itu berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights