KONFEDERASI Bola Sepak Afrika (CAF), memutuskan untuk menunda kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2023 yang dijangka diadakan di Ivory Coast antara Jun dan Julai tahun depan ditunda ke Januari hingga Februari 2024.
Presidennya Dr Patrice Motsepe, berkata keputusan tersebut dibuat susulan tuan rumah Ivory Coast berkemungkinan berdepan cuaca buruk pada jadual asa kejohanan.
“Jawatankuasa Eksekutif telah membuat keputusan bahawa AFCON 2023 Ivory Coast akan ditunda ke Januari dan Februari 2024 dari jadual awal pada 23 Jun hingga 23 Julai 2023.
“Penundaan dibuat susulan ramalan cuaca di negara tuan rumah serta pandangan teknikal daripada pakar mengenai kesan buruk penganjuran perlawanan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi CAF, semalam.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa bulan Jun dan Julai adalah musim hujan di Ivory Coast. – Malaysiapost