SEBANYAK 4,555 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang sejak Januari hingga 2 Julai lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan 19 kali ganda berbanding 239 kes untuk tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 175 kes atau 3.9 peratus dilaporkan adalah kes yang dikenalpasti hasil penularan di taska, tadika atau pra sekolah, manakala 4,380 atau 96.1 peratus kes jangkitan secara sporadik.
“Sehingga 2 Julai lalu, JKN Pahang sudah membuat pemeriksaan di 1,661 premis taska, tadika atau pra sekolah dan sebanyak 36 premis diarah tutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Terdapat empat pusat jagaan harian membuat penutupan secara sukarela,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan hari ini.
Dr Nor Azimi berkata, majoriti kes HFMD di Pahang pulih tanpa rawatan dan hanya 109 kes dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut dan tiada kes yang dimasukkanke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Berdasarkan pemantauan oleh JKN Pahang, tren kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan.
“Namun, orang ramai masih perlu mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti penyakit ini,” katanya. – Malaysiapost