TAN Sri Muhyiddin telah membuktikan ketokohan beliau apabila tampil memimpin negara menghadapi krisis kesihatan, krisis politik dan krisis ekonomi.
Ini kerana kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Presiden Bersatu itu telah menguruskan tiga krisis serentak yang memerlukan kepimpinan berbeza.
Tambahnya, kelompongan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan diisi oleh Muhyiddin tepat pada masa negara memerlukan pemimpin yang mempunyai keperibadian dan keikhlasan seperti beliau.
“Sumbangan Muhyiddin dirasai oleh rakyat secara keseluruhan tanpa mengira bangsa atau agama.
“Wawasan Kemakmuran Bersama dijadikan agenda utama, dengan niat memastikan kekayaan negara tidak dibolot oleh mana-mana penjenayah, tetapi dikongsi oleh semua.
“Dan kini Muhyiddin kekal istiqamah membina kembali negara dengan mencari solusi kepada cabaran-cabaran negara melalui Majlis Pemulihan Negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Wan Saiful berkata ia jauh berbeza dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak, yang menjadi punca bukan sahaja masalah rasuah dan kleptokrasi yang diwarisi di Malaysia, malah krisis politik yang mereka sengaja cipta dengan memperguna jentera parti, semata-mata untuk menyelamatkan diri.
“Sudah pasti Muhyiddin menjadi sasaran mereka. Selagi Muhyiddin dianggap sebagai negarawan oleh rakyat, selagi itulah hidup dua manusia ini tidak tenteram.
“Kita tolak Najib ke tepi sekejap. Manusia tidak tahu malu ini adalah topik untuk perbincangan lain.
“Ada sesiapa boleh bagitahu apa jasa Zahid kepada negara? Ada sesiapa boleh ingat apa legasi Zahid? Zahid ini faedahnya apa?,” soalnya.
Menurut Wan Saiful, semasa Muhyiddin bertungkus lumus membela nasib rakyat, Ahmad Zahid pula berpeluh di mahkamah bukan untuk negara, tapi dituduh perlakuan jenayah seleweng wang.
“Semasa Muhyiddin bergelumang menyelesaikan masalah rakyat, ada sesiapa ingat apa yang Zahid buat untuk faedah rakyat? Jadi, apa sebenarnya faedah wujudnya manusia bernama Zahid dalam senario politik Malaysia hari ini?
“Yang paling jelas, Zahid dalang di sebalik ketidakstabilan politik negara. Zahid dalang di sebalik 15 ahli Parlimen Umno khianati kerajaan sendiri. Zahid dalang di sebalik tekanan kepada Ismail Sabri hari ini. Zahid dalang yang pengecut menghadapi pemilihan parti sendiri.
“Zahid dalang yang akan terus berkomplot kerana terlalu terdesak mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya lagi. – Malaysiapost