Lelaki bogel tunggang motosikal ditahan terlibat kes bunuh

LELAKI menunggang motosikal dalam keadaan berbogel yang tular di media sosial hari ini, ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes bunuh dua beranak di sebuah rumah di Bakar Batu, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kematian melibatkan seorang wanita berumur 26 tahun dan bayi lelaki berusia tiga bulan pada jam 12.42 tengah hari tadi.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari di kediaman tersebut.

“Bertindak atas maklumat pada jam lebih kurang 2.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bersama Ketua Polis Balai Permas Jaya telah menahan lelaki terbabit, yang berusia 24 tahun di kawasan Permas Jaya.

“Turut dirampas sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal. Suspek yang ditangkap dipercayai dalam keadaan berbogel menunggang motosikal seperti tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum mati.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat ASP R KATHIRESH ditalian 013-4472909,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, satu rakaman video memaparkan lelaki menunggang motosikal di lorong tengah lebuh raya tanpa memakai topi keledar serta dalam keadaan berbogel tular di media sosial hari ini.

Bagaimanapun waktu serta lokasi kejadian itu berlaku tidak dapat dipastikan.

Kejadian berkenaan tular di media sosial selepas satu video berdurasi 16 saat yang dirakam seorang pemandu dikongsi di laman sosial Facebook. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights