Pas boleh ambil ‘kuda tua’ Pasir Salak – Nur Jazlan

Pas boleh ambil ‘kuda tua’ Pasir Salak – Nur Jazlan

SUDAH tiba masanya Umno Pasir Salak melakukan reformasi kepimpinan yang mungkin akan menjadi contoh terbaik kepada permulaan proses peremajaan Umno, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, turut yakin Umno akan rasa lega dan tidak akan rugi apa-apa kalau Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meninggalkan parti dan menyertai Pas.

Menurutnya, Tajuddin sudah lebih dua dekad menjadi wakil rakyat di Pasir Salak dan macam-macam jawatan dari menteri ke pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hinggalah kepada Duta Khas.

“Jadi cukuplah tu. Bagilah peluang orang lain nak merasa jadi Ahli Parlimen pula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nur Jazlan turut tertarik dengan sikap oportunis Pas yang menurutnya, setiap kali ada sesuatu yang boleh memberi laba dalam politik, parti itu akan terus sambar.

“Minggu lepas, selepas Tajuddin dipecat sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan buat sidang media serta dedahkan isu dalaman, dengan pantas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pinang ‘kuda tua’ Umno itu.

“Pas berikan laluan kerusi Pasir Salak itu kepada Tajuddin untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan mewakili Pas.

“Saya tergelak besar bila baca kenyataan kedua-dua pemimpin Pas itu. Memang orang Pas ini sejak dulu lagi suka menangguk di air keruh untuk kepentingan politik biarpun ia serendah level kuda tua,” katanya.

Menurutnya, memang tidak salah beliau melabelkan pemimpin dan menteri Pas sebagai ‘cap ayam’.

“Kalau dah spesis cap ayam jadi mereka akan cari geng yang sama cap ayam.

“Sebab sekarang ni pun Tajuddin hanya liabiliti dan tak bawa keuntungan apa pun kepada Umno. Individu yang suka perlekehkan presiden sendiri, suka memalukan parti sendiri memang tak layak lagi bersama Umno,” katanya.

Beliau berkata, individu seperti Tajuddin tidak boleh dipercayai sama macam pemimpin Pas yang rakyat terutamanya pengundi Melayu Islam sudah tidak percaya lagi dengan macam-macam retorik politik dan penunggang agama selama ini.

“Jadi lebih baiklah Tajuddin terjun bersama labu-labu sayongnya dan hanyut di Sungai Pasir Salak bersama Pas,” katanya.-Malaysiapost

Komen