Peguam cuti sakit, bicara laporan audit 1MDB Najib disambung 12 Ogos
PERBICARAAN meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi akan bersambung 12 Ogos ini.
Ini kerana peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercuti sakit.
Menurut peguam bersama Rahmat Mohamed Hazlan, Shafee bercuti sakit akibat laringitis, jangkitan pada peti suaranya.
Bekas Ketua Pegawai Pksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang dipanggil sebagai saksi, akan meneruskan keterangannya pada tarikh pendengaran berikut, lapor portal Free Malaysia Today.
Minggu lalu, mahkamah membenarkan pihak pendakwaan memanggil Arul Kanda untuk memberi keterangan bagi pihaknya. Beliau turut didakwa bersubahat bersama Najib.
Najib dibicarakan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Minggu lalu, Arul Kanda memberitahu mahkamah, Najib pada 23 Februari 2016 memberitahunya, beliau bimbang laporan audit 1MDB akan ‘diputar belit’ dari perspektif politik sehingga menjejaskan dirinya.
Katanya, itulah sebabnya Najib mengarahkannya hadir mesyuarat pada 24 Februari 2016 bagi membincangkan pindaan laporan itu.
Mahkamah diberitahu bahawa bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang dan pegawai Jabatan Audit Negara (NAD) menjalankan audit ke atas 1MDB dari 9 Mac 2015 hingga 4 Mac 2016.
Mereka sepatutnya membentangkan penemuan itu kepada PAC pada 24 Februari 2016, tetapi pertemuan dengan ahli PAC tidak berlaku.
Sebaliknya, Ambrin dan beberapa pegawai diarah hadir mesyuarat di pejabat Ketua Setiausaha kerajaan ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa, pada hari sama.
Individu lain yang hadir mesyuarat itu ialah Arul Kanda, Setiausaha Sulit Utama Najib ketika itu, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, pegawai kanan Perbendaharaan dan pegawai dari Jabatan Peguam Negara.
Selepas mesyuarat itu, empat perkara dikeluarkan daripada laporan itu. Ini melibatkan dua penyata kewangan 2014, penerbitan nota jangka sederhana Islam, pelanggan sekunder bon Islam dan kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
Arul Kanda juga memberitahu mahkamah, dia menghadiri satu ‘mesyuarat luar biasa’ di rumah pegawai khas Najib ketika itu untuk menjelaskan kedudukan syarikat terbabit dan laporan auditnya. – Malaysiapost