SEHINGGA hari ini, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dikatakan belum meluluskan permohonan Umno untuk meminda perlembagaan parti yang yang lulus dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas 2022 yang lalu.
Keadaan itu membuatkan beberapa pemimpin Umno mempersoalkan sama ada jabatan berkenaan digunakan sebagai alat politik oleh musuh parti berkenaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, membangkitkan mengenai perkara itu yang dianggapnya tidak telus.
“Apakah ROS jabatan paling tidak efisien di Malaysia? Jabatan yang tebal dengan birokrasi dan masih dibelenggu dengan tadbir urus lapuk.
“Kalau permohonan Umno untuk menangguh pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tidak ikut perlembagaan, kenapa permohonan MCA dan Gerakan boleh lulus.
“Apakah ROS alat politik yang hanya memusuhi Umno kerana Menterinya dari Bersatu,” soalnya di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, ROS juga pernah mengeluarkan surat mendakwa MKT Umno berstatus “caretaker” sahaja.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu, memaklumkan ROS mempunyai masa sehingga 16 Julai ini untuk meluluskan pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti berkenaan.
Ismail yang merupakan Naib Presiden Umno, ditanya sama ada ROS telah meluluskan permohonan untuk meminda perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti itu sehingga selepas pilihan raya umum akan datang.
Terdahulu, media turut melaporkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan parti itu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada ROS sejak 17 Mei apabila notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan. – Malaysiapost