Sultan Selangor galakan orang Melayu tonton Mat Kilau

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius terhadap gejala perpecahan di kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu yang begitu ketara sekarang ini.

Titahnya, perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu itu dilihat boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik negara.

“Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan di kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai kita.

“Jika dihayati dialog yang digunakan di dalam filem ini, ianya bertepatan bagi menyampaikan message kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baginda bertitah, tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara, namun merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.

“Ianya adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini.

“Pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil,” titahnya.

Titahnya, andai pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu, sekaligus tidak akan memberi sokongan padu kepada pemerintahan orang Melayu.

Baginda bertitah, di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum.

“Di samping itu, Beta menyedari gejala fitnah-memfitnah berlaku dengan berleluasa di kalangan masyarakat. Penyebaran berita-berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah mengugat keharmonian masyarakat di negara kita.

“Semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka ini seolah-olah sudah menjadi satu budaya di kalangan masyarakat kita. Kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah SWT,” titahnya.

Titahnya, agama Islam sendiri menggalakkan manusia untuk berdamai dan bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 103.

“Oleh itu Beta mengajak semua pemimpin politik dan rakyat di negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.

“Beta menyeru agar kita bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat,” titahnya.

Sementara itu, Baginda turut menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu untuk menonton filem Mat Kilau agar ianya boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya tidak bersatu-padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights