KEPIMPINAN dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) diingatkan agar menjaga amanah diberikan sebaik-baiknya dalam menguruskan ibadah haji rakyat Malaysia.
Pesanan itu dititipkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, yang menegaskan TH adalah amanah umat Islam dan bukannya milik peribadi yang perlu diuruskan dengan penuh dedikasi dan integriti.
” Alhamdulillah, musim haji kali ini seramai 600 orang petugas TH termasuk pasukan perubatan berada di Tanah Suci untuk mengurus dan menyantuni para jemaah haji Malaysia.
“Jemaah haji kita pula amat berdisiplin serta mematuhi arahan pihak berkuasa, selain orang kita amat tertib dan murah dengan senyuman.
“Semoga Allah memberkati semua insan yang telah membangunkan TH sejak hari pertama ia ditubuhkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau kini berada di Arab Saudi atas undangan kerajaan negara berkenaan dan diberi peluang sebagai pembicara dalam Simposium Perdana Haji bagi Musim Haji 1443H.
“Dunia Islam sentiasa memandang tinggi keupayaan Malaysia dan TH sebagai model pengurusan terbaik haji.
“Ya, benar, di mana-mana acara, dunia sentiasa menyebut contoh TH Malaysia,” katanya yang turut berkongsi berkaitan pengalaman Malaysia dalam menguruskan jemaah haji Malaysia dalam simposium berkenaan.
Idris berkata, usia TH sudah melebihi 50 tahun yang bermula pada tahun 1959, apabila Profesor Diraja Tun Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid membentangkan kajian bertajuk “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji”.
“Selepas itu pada 1960, Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji telah dibentuk untuk mengenalpasti masalah-masalah dihadapi umat Islam yang mahu mengerjakan ibadah haji khususnya kaedah penyimpanan wang untuk tujuan Haji.
“Setelah beberapa siri mesyuarat dan libat urus, sebuah institusi iaitu Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji ditubuhkan pada November 1962.
“Bagi menghadapi tugasan yang lebih komprehensif dalam pengurusan haji, Lembaga Urusan dan Tabung Haji telah ditubuhkan secara rasmi pada 8 Ogos 1969,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh itulah juga, TH elah melalui pelbagai episod yang mematangkan pengurusannya sebagai sebuah agensi pengurusan haji. – Malaysiapost