Usah bazir masa kaji waktu bekerja 4 hari seminggu

CUEPACS berpendirian cadangan melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu masih tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia termasuklah cadangan untuk melaksanakan kajian tersebut.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata ini kerana terdapat perkara lain lebih utama melibatkan hal kebajikan serta kadar gaji semasa yang belum diselesaikan kerajaan dan majikan.

Katanya, CUEPACS berpandangan kerajaan hanya merugikan sumber serta membuang masa sekiranya berhasrat membuat kajian kebolehlaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu di Malaysia.

“Kerajaan pada hakikatnya perlu lebih fokus kepada isu pekerjaan lebih penting serta telah diumum tetapi masih dalam peringkat kajian atau tidak dilaksanakan lagi walaupun telah dikuatkuasakan.

“Mengambil contoh dalam perkhidmatan awam, banyak perkara yang sudah diumumkan kerajaan untuk penjawat awam tetapi pelaksanaannya masih tidak dibuat.

“Antara perkara tersebut ialah pelaksanaan gaji minimum melalui sistem saraan baharu, penebusan awal gantian cuti rehat serta kenaikan pangkat secara ‘time based’ yang dipendekkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Adnan, sumber dan masa yang perlu digunakan kerajaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan empat hari bekerja seminggu, sepatutnya digunakan untuk ‘merawat’ situasi semasa membelenggu penjawat awam yang terkesan dengan isu gaji rendah serta hal kebajikan lain.

Katanya, tumpuan seharusnya diberi kepada perkara yang memberi manfaat buat warga pekerja berbanding mengkaji perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan buat masa kini.

“Dengan kos sara hidup semakin meningkat, tentu perkara berkaitan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta kebajikan warga penjawat awam perlu diberikan keutamaan.

“Dalam masa sama CUEPACS menyeru semua warga perkhidmatan awam mengekalkan prestasi cemerlang dalam pekrhidmatan masing-masing dan tidak hilang fokus menghadapi isu pelaksanaan empat hari bekerja seminggi ini.

“Keutamaan ketika ini adalah penyampaian perkhidmatan cemerlang kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights