YAYASAN Pelajaran MARA (YPM) memperuntuk RM2.1 juta bagi melaksanakan Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB, khusus untuk pelajar luar bandar tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program tersebut dilaksanakan di 60 pusat tuisyen terpilih di seluruh negara dengan penglibatan 6,000 pelajar.
“Usaha ini digerak bagi memastikan pelajar luar bandar tidak keciciran dan mendapat akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik yang terbaik.
“Tuisyen ini kita beri secara percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terutama di luar bandar yang mempunyai tahap penguasaan akademik sederhana dan lemah”, katanya.
Jelas Mahdzir, sejak dilaksanakan pada 2016, Program Tuisyen Pintar telah memberi manfaat kepada 80,581 pelajar luar bandar dan berjaya meningkatkan prestasi pelajaran mereka.
“Setiap pusat tuisyen akan disertai 100 pelajar yang akan mendapat bimbingan terus daripada guru pakar daripada kementerian atau MARA yang dikenalpasti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta melibatkan 10 pertemuan.
“Mereka akan diajar dengan teknik pembelajaran, menjawab soalan dan sesi motivasi bersama pelajar serta ibu bapa,” katanya.
Tambah Mahdzir, Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) YPM dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan PPD yang dilantik penyelaras bersama.
“Dengan kejayaan Program Tuisyen Pintar tahun-tahun sebelum ini, kita telah mendapat perhatian syarikat korporat yang mengiktiraf program ini dengan menyatakan hasrat untuk tajaan bagi tahun 2022.
“Antara syarikat atau badan yang menyatakan persetujuan adalah Maybank Islamic Berhad, Celcom Axiata Berhad, Yayasan Khazanah, Gas Malaysia Berhad, Ambank Islamic dan banyak lagi penaja lain yang turut serta,” jelas Mahdzir.
Terdahulu, majlis pelancaran rasmi Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi yang mewakili Mahdzir.
Pada majlis itu, beberapa penaja turut tampil menyerahkan sumbangan “Mock Cheque” bagi Program-program Pendidikan YPM. – Malaysiapost