Baru ditubuhkan, parti Barisan Penyatuan Nasional sedia tanding semua kerusi Parlimen

Baru ditubuhkan, parti Barisan Penyatuan Nasional sedia tanding semua kerusi Parlimen

PARTI Barisan Penyatuan Nasional (BPN) hari ini mengumumkan secara rasmi kesediaan mereka bertanding di semua 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pendirian itu diumumkan Presidennya, Ibrahim Yahya di Kuantan yang turut dihadiri barisan pimpinan utama parti itu.

Ibrahim mendakwa pihaknya sudah mempunyai kira-kira 5 juta ahli dan sedia untuk digerakkan jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Namun beliau mengakui pendaftaran BPN masih belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Saya difahamkan (pendaftaran) BPN kini di peringkat akhir dan kalau tidak ada masalah, boleh diluluskan sebelum PRU15.

“Kalau nak dikira, kami tidak minat politik, tapi memandangkan situasi negara ketika ini terlalu teruk, kami buat keputusan untuk memberi tawaran baharu kepada rakyat.

“Parti ini majoritinya adalah ahli perniagaan dan kita lebih tahu apa yang perlu dilakukan bagi memajukan sesuatu kawasan,” katanya.

Ibrahim memaklumkan, buat masa ini parti itu tidak bercadang untuk menarik keahlian daripada kalangan ahli politik sedia ada.

Katanya, prinsip asas BPN adalah menjadi platform kepada politik bersih, telus dan bebas rasuah.

“Tak perlu tarik (keahlian) terutamanya mereka (ahli politik) yang ada kes rasuah dan salah guna kuasa.

“Perjuangan kita adalah untuk rakyat dan pendirian kita jelas, tidak cenderung atau menyokong mana-mana pihak atau parti politik lain,” katanya lagi.

Ditanya kemungkinan penubuhan BPN ditaja mana-mana pihak, Ibrahim menafikan perkara itu dan menegaskan pihaknya menggunakan dana hasil sumbangan ahli bagi menggerakkan parti.

“Tidak ada kebetulan dalam hal ini, bukan disebabkan tempoh PRU15 semakin hampir, jadi kami lancarkan BPN, tidak ada kaitan.

“Kita tubuhkan BPN sebagai jihad untuk membantu rakyat yang susah ketika ini, dengan harga barang melambung dan bermacam lagi isu lain,” katanya.

Mengenai tawaran dan manifesto BPN, Ibrahim memaklumkan pihaknya merangka lima manfaat diperoleh rakyat jika memilih BPN sebagai kerajaan.

“Manfaat pertama ialah perumahan percuma kepada golongan B40 dan perumahan konsep sewa beli kepada M40, skim perlindungan insurans kesihatan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Selain itu, kita juga menawarkan faedah pendidikan kepada semua peringkat umur, sama ada pendidikan di peringkat rendah hingga peringkat tertinggi.

“Faedah seterusnya ialah tawaran menunaikan haji dan umrah kepada semua rakyat Malaysia yang layak dan akhir sekali, bantuan atau elaun kepada golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Ibrahim turut memaklumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan.

BPN memerlukan sekurang-kurangnya RM2.2 juta jika mahu meletakkan calon di 222 kerusi Parlimen dalam PRU15 dan Ibrahim memaklumkan pihaknya akan menggunakan dana sendiri bagi membiayai kos itu. – Malaysiapost

2 Comments

Komen