Kelab komedi Crackhouse beroperasi tanpa lesen hiburan

Kelab komedi Crackhouse beroperasi tanpa lesen hiburan

KELAB Komedi Crackhouse yang tular selepas seorang wanita didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan dilapor beroperasi tanpa lesen hiburan.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata, premis di Taman Tun Dr Ismail yang terletak di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu hanya mempunyai lesen restoran.

“Mereka perlukan kedua-duanya. Jadi mereka pasti melanggar syarat-syarat itu,” katanya memetik laporan The Star.

Jalaluddin berkata, DBKL akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pengendali kelab berkenaan hari ini dan Crackhouse perlu menjawap dalam masa 14 hari.

Operasi kelab komedi itu digantung sejak Ahad lalu susulan siasatan ke atas satu klip video tular yang dipercayai menghina agama Islam.

Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial apabila seorang wanita memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaian dan tudung.

Tindakan menggantung sementara operasi kelab itu, bagaimanapun, menerima banyak kritikan daripada pelawak dan warga maya yang percaya kelab tersebut tidak sepatutnya dihukum atas tindakan wanita berkenaan yang melakukannya secara spontan.

Jalaluddin dilaporkan berkata Crackhouse boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari, dan juga memohon lesen hiburan daripada DBKL.

“Saya akan menyerahkan kepada jawatankuasa untuk menyiasat sama ada lesen sekarang telah disalahgunakan,” katanya.

Hari ini, tular video seorang lelaki menyindir Islam ketika membuat persembahan komedi berdiri di kelab sama.

Pemilik akaun TikTok bernama Rizal Van Geyzel memuatnaik video sedang membuat persembahan berkongsi pengalaman ketika bersekolah di sebuah sekolah kerajaan.

Menurutnya, ketika di sekolah ustazah dan ustaz memberitahu pelajar berbangsa Cina dan India akan ke ‘neraka’.

“Jika anda Muslim, anda akan ke belajar Pengajian Islam. Jika anda bukan Islam, anda akan ke neraka. Ya, itu yang ustaz ustazah beritahu pada saya,” katanya. – Malaysiapost

1 Comment

  • Oriole

    Oo…inilah kelab mengutuk Melayu dan Islam tu ya. BUngkus la tak lama lagi lahanat2 ni

Komen