Mat Kilau dinobat Tokoh Maal Hijrah Pahang

Mat Kilau dinobat Tokoh Maal Hijrah Pahang

PAHLAWAN terbilang, Mat Kilau atau nama sebenarnya Allahyarham Muhammad Khatib Rasu Abdul Salam dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2022, hari ini.

Anugerah disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan diterima cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 53.

Mohd Alhamadi berkata, anugerah itu cukup bermakna dan membangkitkan lagi semangat waris dan orang Melayu khususnya untuk meneruskan perjuangan menegakkan syiar Islam.

Menurutnya, semasa hayatnya, Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah dan tokoh pejuang Pahang lain termasuk Datuk Bahaman berjuang menentang Inggeris atas dasar agama.

“Anugerah ini juga dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan tokoh ini dalam menegakkan Islam di negeri ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pemangku Raja Pahang atas pemilihan Mat Kilau sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang tahun ini,” katanya

Mohd Alhamadi berkata, sebagai waris, beliau cukup terharu dengan anugerah diterima arwah datuknya yang membuktikan jasa dan pengorbanan tokoh itu terus dikenang sehingga kini.

Menurutnya, dia sempat bersama Mat Kilau memandangkan datuknya itu dijaga orang tuanya selama hampir 30 tahun.

“Saya juga masih ingat pesanannya supaya berzikir dan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan harian. Justeru amalan itu juga sentiasa diamalkan dalam perguruan Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau yang diwarisi,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Kosmo

Komen