3 premis hiburan sekitar Jalan Tun Razak, Taman Miharja diarah tutup

3 premis hiburan sekitar Jalan Tun Razak, Taman Miharja diarah tutup

TIGA premis hiburan sekitar Jalan Tun Razak Dan Taman Miharja diarahkan tutup serta-merta termasuk disita peralatan kerana beroperasi tanpa lesen.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan, ketiga-tiga premis itu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

“Ia termasuk membuka tiga kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) akta yang sama berikutan mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.

DBKL berkata, premis terbabit dikenakan tindakan dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan, yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, semalam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Enam premis hiburan diperiksa dan tiga daripadanya diarah tutup serta-merta dan peralatannya disita.

“Tiga premis terbabit juga dikenakan lima kompaun kerana menggajikan warga asing bagi membantu menjalankan aktiviti perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Undang Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016.

“Selain itu, 15 peralatan muzik turut disita daripada premis terbabit, termasuk pembesar suara, alat pemutar muzik, kawalan bunyi dan komputer riba,” katanya.

Menurut DBKL, semua peralatan yang disita itu dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara. – Malaysiapost

Komen