Agong, Permaisuri ucap Selamat Hari Pahlawan

Agong, Permaisuri ucap Selamat Hari Pahlawan

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Istana Negara dalam kenyataan menerusi Facebook, memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM atas jasa, khidmat dan bakti yang dicurahkan oleh pahlawan-pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta.

“Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam menjaga keamanan negara,” menurut kenyataan itu

Menurutnya, Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas.

“Sesungguhnya jerit perih mereka, para pejuang tanah air seketika dahulu dan masa kini adalah demi negara kita yang berdaulat.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Berjuang demi negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen