BN tubuh sayap Puteri BN

BN tubuh sayap Puteri BN

PENUBUHAN Puteri Barisan Nasional (BN) dijangka dapat memperkukuhkan lagi jentera BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, penubuhan sayap baharu yang diluluskan hari ini itu akan disahkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pada Ogos ini.

“Saya ingin nyatakan, bahawa Puteri BN telah diluluskan. Dan kita akan diabsahkan dalam mesyuarat dewan tertinggi BN yang akan diadakan bulan Ogos ini,” katanya dalam sidang media pada Konvensyen Puteri BN yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyeru sayap wanita muda dalam parti-parti komponen untuk bersama-sama dengan Puteri Umno berganding bahu memperkukuh BN.

“Puteri Umno adalah tulang belakang kepada Puteri BN mereka punyai jentera yang kuat tetapi marilah MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Friends of BN bersama..sebagai Pengerusi BN insya-Allah saya akan berikan peluang kepada parti-parti komponen untuk bertanding kali ini.

“Termasuk kepada Puteri BN tapi bergantung kepada bukti untuk memperkukuh dan memperkasa jentera pilihan raya siapa pun yang bertanding atas lambang BN kita wajib menang dan parti ini perlu dominan semula,” katanya.

Terdahulu Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan dalam ucapannya pada konvensyen itu memohon agar Ahmad Zahid mengajukan kepada Dewan Tertinggi BN untuk segera mewujudkan secara rasminya sayap Puteri BN.

“Kita mahu dalam PRU akan datang, di barisan depan wanita muda itu adalah Puteri BN. Kita mahu wajah-wajah itu adalah wajah wanita muda berbilang kaum yang mewakili Puteri BN,” kata Zahida.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapan penutupan konvensyen, mengingatkan parti-parti komponen untuk tidak berjuang mengenai bilangan kerusi akan ditandingi kerana menyifatkan ianya sebagai formula yang tidak relevan.

Jelasnya, perkara yang lebih penting adalah melihat kepada bilangan kerusi boleh dimenang malah beliau juga berlapang dada untuk memberikan peluang kepada sayap-sayap parti untuk bertanding asalkan punya potensi untuk BN.

“Kita hanya akan bertanding di kerusi yang boleh dimenangi itulah formula baharu jangan berebut kerusi kalau tidak boleh menang kononnya mahu menjaga rasa malu jika tanding kerusi sedikit, sebenarnya menempah kekalahan.

“Ubah minda itu beri peluang kepada Wanita, Pemuda dan Puteri…bagi mereka membuktikan jika mereka boleh bertanding ertinya boleh meraih kemenangan atas nama BN dengan mengambil pendekatan pelbagai kaum.

“Ada kawasan Melayu, Cina atau bercampur hakikatnya masyarakat majmuk perlukan pemimpin dari parti yang boleh menyelesaikan pelbagai permasalahan. Pendekatan pelbagai kaum harus dilakukan kerana negara kita adalah masyarakat majmuk,” katanya. – Malaysiapost

Komen