Ketua masyarakat Cina perlu utamakan rakyat – Ka Siong

Ketua masyarakat Cina perlu utamakan rakyat – Ka Siong

SEMUA Ketua masyarakat Cina di negeri Johor diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta menjaga imej dan reputasi baik negeri.

Peringatan itu dibuat Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Ikrar Angkat Sumpah Ketua Masyarakat Cina Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor pagi tadi.

Berkongsi mengenai majlis berkenaan di laman Facebooknya, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata peranan ketua masyarakat amatlah besar dan penting.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar semua Ketua Masyarakat Cina negeri Johor dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik serta membantu kerajaan khususnya negeri Johor dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terbela,” katanya.

Beliau berkata, majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Haji Azmi bin Rohani.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd Noh Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua 120 Ketua Masyarakat Cina Negeri Johor yang menerima watikah pelantikan dalam majlis berkenaan. – Malaysiapost

Komen