Rokok, vape difatwa haram – Dr Noor Hisham

Rokok, vape difatwa haram – Dr Noor Hisham

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai mengenai fatwa pengharaman rokok termasuk rokok elektronik (vape).

Difahamkan, diperingatan itu susulan cadangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022, yang bertujuan mengharamkan penjualan rokok dan produk vape kepada individu yang lahir selepas 1 Jan 2007.

“Rokok difatwakan haram sejak 1995. Vape dan e-cigarette difatwakan haram sejak 2015.

“Beri sokongan penuh kepada KKM. Kita mulakan dari generasi muda dan anak-anak,” katanya menerusi Facebook.

Pada 28 Julai lalu, Dr Noor Hisham menggesa orang ramai memberi sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan di Parlimen.

Menerusi ciapannya di Twitter, beliau berkata, kuasa pelaksanaan RUU ada pada rakyat.

Sebelum itu, pada Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Di bawah RUU berkenaan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000. – Malaysiapost

Komen