Serpihan roket China di ruang angkasa Sarawak

Serpihan roket China di ruang angkasa Sarawak

SERPIHAN roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak, malam tadi.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pemantauan secara berterusan pihaknya menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China mendapati kemasukan semula serpihan roket berkenaan ke ruang udara Bumi dikesan jam 12.55 tengah malam tadi waktu Malaysia.

“Serpihan roket berkenaan sudah terbakar semasa memasuki ruang udara Bumi dan pergerakan serpihan itu turut melintasi ruang udara Malaysia yang dikesan di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

“Sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur, hari ini,” menurut kenyataan itu.

Malam tadi, penduduk di Sarawak kecoh apabila mendengar letupan yang kuat seperti guruh di langit.

Letupan itu disangkakan tahi bintang dan situasi berkenaan tular di media sosial melalui perkongsian gambar dan video. – Malaysiapost

Komen