Institusi pondok benteng kekuatan umat Islam, lahir ramai tokoh agama unggul

Institusi pondok benteng kekuatan umat Islam, lahir ramai tokoh agama unggul

TUDUHAN mengaitkan institusi pondok di negara ini dengan usaha mengembangkan fahaman ektrimis serta melahirkan pengganas adalah tidak berasas dan benar.

Ahli Mesyuarat Jabhah Pondok Kelantan, Aziz Che Man, berkata pihaknya menolak kenyataan Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid melalui laporan sebuah akhbar bertajuk ‘Sekolah Ponodk Sebar Ekstremis’ yang disiarkan semalam.

Beliau berkata, hakikatnya institusi pondok yang menjadi antara benteng menghalang penularan fahaman ektrimis tersebut.

“Buktinya, ulamak-ulamak pondoklah yang mula menyedari dan menentang fahaman ‘Salafi Jihadi’ yang dibawa oleh dua pemimpin Jemaah Islamiah (JI), Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir menyusup masuk pada April 1985 dan mengembangkan Jemaah Islamiah (JI) di Negeri Sembilan dan Johor.

“Sejarah memperlihatkan ulama-ulama pondok seperti Syeikh Ahmad Al-Fathoni, Tok Kenali, Sheikh Abdullah Fahim dan sebagainya jugalah yang menentang penyebaran fahaman pelampau seperti golongan Wahhabi yang suka membidaahkan, mensyirikkan bahkan berani mengkafirkan amalan umat Islam di rantau nusantara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, beliau berkata, Institusi Pondok juga telah melahirkan ramai tokoh agama unggul, serta pejuang Islam dan tokoh masyarakat sejak dulu hingga kini.

Katanya, antaranya tokoh ilmuan Islam seperti Tok Kenali di Kelantan; Tokku Paloh di Terengganu; Tok Montok di Pahang.

“Hakikatnya institusi pondok berjaya melahirkan tokoh-tokoh intelektual yang memainkan peranan amat penting dalam masyarakat Islam di Malaysia.

“Ia seperti mufti, pegawai tinggi agama dan para pendakwah Islam serta masyarakat yang berpegang teguh dan menghayati pendidikan Agama Islam secara istiqamah dan syumul,” katanya.

Beliau berkata, sistem pengajian pondok mengajar ilmu-ilmu yang diwarisi oleh Ulamak Muktabar seperti Imam Syafi’e bahkan termasuk empat mazhab dan sistem seperti ini juga ditekankan di peringkat pengajian Universiti Al-Azhar, Mesir.

Katanya, kitab-kitab rujukan yang digunakan pula berdasarkan karangan para ulamak muktabar yang merangkumi empat ciri-ciri penting sebagai hujjah yang disepakati oleh para Ulamak Muktabar, iaitu al-Quran, Hadith, Ijmak Ulamak serta Qias.

“Bahkan para ulamak pondok sejak dahulu sehingga sekarang berpegang teguh pada manhaj al-Asha’irah dan al-Maturidiyah.

“Hal ini boleh dilihat sebagai yang termaktub dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri seperti Kelantan, Johor dan negeri-negeri lain,” katanya.

Justeru, pihaknya mahu kerajaan dan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat mempertahankan institusi pondok kerana ia benteng Manhaj Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Malah ia juga benteng kesatuan ummah bagi memerangi ideologi ekstrem seperti golongan yang membawa dan menyebarkan ajaran Salafiyyah Wahabiyyah seperti ISIS,” katanya.

Terdahulu, Mahmood Zuhdi mendakwa lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstre­mis­­me membabitkan tenaga pe­ngajar dan pelajar.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) berkata, paling membimbangkan sekiranya sesebuah ­institusi dibiar tanpa pemantauan daripada pihak kerajaan.

Malah, menurut beliau, sesebuah sekolah pondok sepatutnya diberi panduan dan diaudit secara berkala. – Malaysiapost

Komen