Dosa dan pengkhianatan pada Universiti Malaya

Dosa dan pengkhianatan pada Universiti Malaya

Faisal Ramli

“SERVING the nation, impacting the world”

Kata-kata di atas langsung tidak memberikan gambaran kepada keadaan sebenar Universiti Malaya (UM) sekarang ini.

UM bermula November 2020 di bawah teraju baru telah merubah lanskap batiniah UM yang selama ini cemerlang kepada prestasi yang lebih buruk.

Cogan kata yang terdahulu seperti ‘Producing Leaders since 1905’ dan ‘Tradisi Kecemerlangan’ telah semakin pudar dan lenyap di bumi UM.

Tindakan merobohkan rumah-rumah kediaman universiti di Seksyen 12 Petaling Jaya sebagai cadangan projek pembangunan “Health Metropolis” yang menemui kegagalan, diteruskan oleh sekumpulan profesor dengan melancarkan pelan transformasi UM

Malah, salah seorang di kalangan sekumpulan profesor yang berpangkat Jusa B telah dilantik sebagai pemangku Pendaftar di UM, alasannya timbalan-timbalan Pendaftar di UM tidak bijak untuk mendepani isu sumber manusia dalam urusan sesebuah institusi akademik.

Sekumpulan profesor empat sekawan telah dilantik bagi menjayakan agenda tersebut.

Dikenali sebagai empat sekawan. Mereka ini sebenarnya yang telah merubah batiniah UM yang selama ini melahirkan graduan ternama melalui sistem pendidikan atau sosial sedia ada.

Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz telah meletakkan ruang kampus Lembah Pantai sebagai keseronakan bekerja baik cendikiawan mahu pun sokongan.

Naib-naib Canselor yang selepas Pak Ungku masih memberikan ruang ini dan hasilnya UM bergerak selari dengan cita-cita dan harapan sebuah negara bangsa.

Sebaliknya kini ruang-ruang dalam fakulti sudah menjadi ‘panas’ dengan transformasi yang dilaung-laungkan.

Empat sekawan telah melancarkan 5 teras utama (The 5 Pillars) yang kelihatannya menarik, barangkali mengambil jumlah bilangan waktu solat agama Islam. Ia dikenali sebagai P.O.I.S.E yang disebut Passion, Oneness, Intergrity, Sincerity, Empathy.

POISE ini ialah teras utama bagi memacu, mencabuk dan mencemeti semua kakitangan akademik dan bukan akademik bagi mencapai visi dan misi UM. Beliau bersama rakannya empat sekawan telah melancarkan pelan tranformasi yang telah memperlihatkan UM bergerak perlahan. Sebuah ironi.

Melancarkan Petunjuk Prestasi Tahunan atau Key Performance Indicator (KPI) yang berteraskan POISE tadi.

Kata asas kepada KPI tadi ialah performance iaitu prestasi. Sebaliknya berdasarkan POISE tadi KPI kakitangan UM telah berubah. KPI tahun 2019 meletakkan prestasi yang berdasarkan kepada senarai tugas hakiki setiap perjawatan sebanyak 95 peratus dan 5 peratus lagi ialah aktiviti atau sumbangan luar kakitangan.

Merujuk kepada KPI baharu dari empat sekawan ini mereka telah meletakkan 60 peratus kriteria POISE yang melihat kepada persepsi dan bukannya prestasi.

60 peratus kriteria ini dinilai oleh bukan penilai utama tetapi dipecahkan kepada 4 kluster termasuk kepada pelanggan luar.

15 soalan yang mewakili 60 peratus penialaian ini sangat menjurus kepada persepsi penilai kepada individu yang dinilai.

Manakala 40 peratus lebihan penialaian ini dirujuk dengan prestasi kerja yang berdasarkan kepada senarai tugas hakiki.

Apabila semua kakitangan akademik dan bukan akademik menyuarakan pendapat tentang kegalauan ini mereka menyatakan ‘buat dahulu.’

Lebih tragis KPI bagi tahun 2022 semua staf bukan akademik perlu membaca sekurang-kurangnya 2 hingga 5 bahan ilmiah.

Cuba bayangkan kakitangan sokongan seperti tukang kebun dan pencuci atau pembantu am yang bertugas dengan rutin harian manakan sempat untuk berbuat demikian.

Inilah yang dikatakan penganiayaan.

Sistem pengukuran kecemerlangan para akademik ternyata berat sebelah kepada pada bidang sains dan teknologi, telah mengakibatkan jurang jumlah profesor di bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan hampir pupus berbanding dengan jumlah ini di fakulti-fakulti sains dan teknologi yang meningkat di usia muda.

Ada fakulti di bidang bukan sains dan teknologi yang tiada professor dan manakala yang dapat menjawat profesor sudah hampir menamatkan perkhidmatan.

Kesan ini menyebabkan ramai pensyarah berkualiti di bidang sains sosial dan kemanusiaan telah keluar dan berpindah ke universiti-universiti lain disebabkan tidak bersetuju dengan penindasan bidang secara terang-terangan oleh 4 sekawan ini.- Malaysiapost

Bersambung…

Penulis adalah alumni UM yang telah menyumbang artikel kepada portal ini

[ Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiapost ]

Komen