‘Itu bukan jimat, tapi lebih kepada kedekut’

‘Itu bukan jimat, tapi lebih kepada kedekut’

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

PAKAR ekonomi menjelaskan bahawa dasar fiskal membabitkan konteks belanjawan tahunan negeri atau negara membangun, perbelanjaan yang tinggi adalah digalakkan untuk memaksimumkan kutipan pendapatan kerajaan negeri atau negara.

Kerana itu, para ekonomis melihat peratusan defisit yang kecil adalah suatu yang baik untuk peningkatan pendapatan tahunan negara, bertujuan memastikan kedudukan kewangan fiskal yang kukuh dalam jangka panjang. Maka, kerana itu juga imbangan fiskal Kerajaan Malaysia yang mengalami defisit -3.4 peratus daripada KDNK pada tahun 2014, telah berjaya dikurangkan kepada -3.1 peratus pada 2016 dan seterus di era BN.

Merujuk kepada konteks Kedah, pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada MB Kedah setelah baru baru ini diumumkan Kedah mempunyai rizab kerajaan negeri 600juta.Jika benar ia mungkin satu pencapaian yang luar biasa.

Persoalannya, mungkinkah MB Kedah tidak belajar ekonomi fiskal hingga takut berbelanja untuk kesejahteraan rakyat Kedah?

Tidak dinafikan bahawa langkah berjimat cermat itu bagus untuk kantung Kerajaan Negeri. Namun berbaloikah penjimatan itu jika ianya menjejaskan hidup rakyat Kedah?

Sebagai contoh, SADA ditubuhkan pada tahun 2010 pada zaman pentadbiran PAS Kedah setelah JBA dimansuhkan. Ketika mengambil alih, SADA terus mengguna pakai jaringan paip JBA yang sudah sekian lama tidak ditukar ganti.

SADA mencatat keuntungan pada tahun-tahun awal penubuhannya ekoran hanya mengguna pakai aset sedia ada. Tahun-tahun berikutnya, paip-paip lama peninggalan JBA itu mula mendatangkan masalah dan pecah di sana sini, serta memerlukan kos membaik pulih paip.

Dalam masa yang sama, pembangunan yang pesat berlaku di Kedah. Namun, jaringan paip lama JBA yang sering pecah sana-sini itu masih digunakan menyebabkan kadar NRW (Non Revenue Water) meningkat lebih 50 peratus, sekali gus menyebabkan tekanan air rendah.

Kerajaan BN Kedah terdahulu menyedari hakikat ini, segera mengambil inisiatif menaiktaraf sekurang-kurangnya 5 LRA, melaksana projek menukar ganti jaringan paip dan membina jaringan paip baharu. sehingga kadar NRW kembali di bawah 50%. Namun setelah pru 14. Kerajaan PH kemudiannya tangguhkan projek-projek berkenaan, malah ada yang telah dibatalkan begitu saja.

Kita mengambil maklum Kerajaan PAS Kedah kini menyambung kembali inisiatif kerajaan BN itu , dengan bantuan yang diperoleh dari Kerajaan Persekutuan. Projek-projek berkenaan khabarnya dijangka siap pada tahun 2024 hingga 2026.

Malangnya, biarpun menyedari masalah bekalan air di Kedah tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, MB Kedah tidak sanggup berbelanja untuk mengurangkan kadar NRW secepat mungkin.

Padahal, projek-projek berkenaan boleh dilaksanakan kerana kerajaan negeri mempunyai lebihan kewangan untuk dibelanjakan demi kesejahteraan hidup rakyat. Malah, mungkin perbelanjaannya boleh dijimatkan jika dilaksana secara “in house”.

Dengan nilai rizab RM600 juta yang diumumkan, sedarkan MB Kedah rakyat Pendang baru-baru ini tidak dapat mandi dengan sempurna, terpaksa menahan air besar, tidak dapat cuci kain baju dan pinggan mangkuk, serta terpaksa menunggu lori tangki SADA lebih 24 jam meskipun laporan telah dibuat lebih awal.

Malah, bukan sahaja Pendang tapi Kuala Kedah, Sungai Petani, Merbok dan sebahagian Alor Setar juga sering menghadapi masalah yang sama dan isunya adalah kesan dari paip paip lama ini yang diibaratkan seperti “bom jangka”.

Pandangan saya, itu bukan jimat tapi lebih kepada kedekut! Sedangkan MB kedah pernah akui infrastuktur air kedah ketinggalan 20tahun dan juga dengan penambahan LRA baru ini akan lebih memburukan lagi masalah NRW di Kedah.

Saranan saya, berbelanjalah demi kesejahteraan rakyat. Namun berjimatlah dengan berhemah dengan mengambil kira kkesejahteraan rakyat terlaksana, masa depan rakyat Kedah terjamin.

Apa guna berbangga dengan nilai RM600 juta dikocek rizab jika ada rakyat Kedah terbiar tak mandi?
.
Penulis ialah Pengarah Komunikasi Pemuda Umno
(Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Komen