Jangan terburu-buru meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok

Jangan terburu-buru meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

SAYA bersetuju dengan prinsip dan objektif baik yang mendasari Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang mensasarkan pencegahan amalan merokok dalam kalangan remaja. Malah pendekatan generasi penamat (GEG) yang digunakan akan secara perlahan-lahan mengakhiri amalan yang tidak baik untuk kesihatan tersebut.

Walau bagaimanapun, saya percaya, prinsip dan objektif yang baik sama sekali berbeza dan tidak semestinya dituruti dengan keberkesanan pelaksanaan sesuatu undang-undang. Atas dasar itu, terdapat beberapa aspek kritikal yang perlu turut diberikan perhatian serius.

Pertama, cadangan hukuman jenayah bagi kesalahan yang melibatkan kelompok juvana bukanlah pendekatan yang betul. Malah, terdapat banyak undang-undang yang menggunakan pendekatan jenayah dan memberikan sekeras-keras hukuman namun tidak berjaya mengekang peningkatan sesuatu gaya hidup yang tidak baik.

Pada pandangan saya, fokus yang serius perlu turut diletakkan pada rangkaian ikhtiar membentuk ekosistem. Ekosistem yang berupaya memperkasa individu sebagai agen yang bertanggungjawab untuk mengurangkan kemudaratan tanpa mengetepikan prinsip kebebasan memilih.

Tambahan pula, larangan ketat berpotensi meningkatkan kelaziman penggunaan produk tembakau seludup atau dari pasaran haram. Dan perkara ini mempunyai risiko tersendiri yang tidak boleh dipandang ringan.

Kedua, saya bersetuju bahawa satu laporan dari panel bebas kepada Parlimen perlu disediakan berhubung kesesuaian undang-undang yang penguatkuasaannya melibatkan golongan bawah umur termasuk kanak-kanak. Kita harus sensitif dengan sebarang penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan golongan bawah umur selaras dengan amalan antarabangsa. Saya harap penelitian dan saranan daripada panel bebas tersebut kelak akan benar-benar diambil kira dalam RUU ini.

Ketiga, kedudukan pendekatan risiko berkadaran (risk-proportionate) atau alternatif kepada produk tembakau konvensional harus dimasukkan dalam RUU tersebut. Ini kerana, pendekatan sedemikian mempunyai sumbangan dan fungsi tersendiri. Contohnya, Public Health England melaporkan bahawa rokok elektronik adalah kira-kira 95% kurang berbahaya daripada rokok tembakau dan telah terbukti membantu perokok berhenti merokok.

Adalah tidak merugikan untuk kita meneliti dan mempertimbangkan keberkesanan serta keperluan mengurangkan kawalan ketat ke atas produk-produk kurang berbahaya ini seperti yang dilaksanakan oleh negara England, Jepun dan New Zealand. Produk-produk merokok yang ada di pasaran mempunyai risiko dan kesan yang berbeza-beza. Kesemua itu harus dibezakan dan bukannya digabungkan secara umum dan pukul rata di bawah satu peraturan.

Keempat, Kerajaan tidak boleh terburu-buru untuk meluluskan RUU yang begitu penting ini. Memberikan tempoh kurang seminggu untuk Ahli-ahli Parlimen meneliti RUU tersebut secara mendalam adalah tidak mencukupi sama sekali. Ahli Parlimen New Zealand misalnya, telah diberikan empat bulan untuk membahaskan cadangan pindaan generasi bebas tembakau di negara tersebut.

Kelima, saya bersetuju dengan cadangan memasukkan klausa “Penilaian Mandatori” untuk mengkaji keberkesanan undang-undang baharu ini pada masa hadapan. Semakan ini wajar dikendalikan oleh Jawatankuasa bebas bagi setiap dua hingga tiga tahun, untuk menilai sama ada kelaziman merokok telah menurun, di samping kesan sampingan terhadap tahap kesihatan awam.

Saya harap RUU yang baik ini akan dapat dilengkapkan dengan mengambil kira pelbagai aspek lain demi memastikannya tidak menjadi sekadar undang-undang yang bertujuan meraih populariti. Ia mesti bersifat objektif dan dijayakan dengan teliti, tidak tergesa-gesa dan mengambil kira amalan terbaik yang terbukti berkesan.

Penulis ialah Naib Presiden Umno

(Artikel ini dipetik dari Facebook beliau, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Komen