Kerajaan bayar RM1.57 bilion faedah hutang 1MDB tahun ini

Kerajaan bayar RM1.57 bilion faedah hutang 1MDB tahun ini

LEBIH RM1.57 bilion akan dibelanjakan kerajaan pada tahun ini bagi membayar faedah daripada hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu anggaran itu dibuat dengan andaian kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia dengan dolar AS ialah pada kadar RM4.50 bagi setiap AS$1, lapor MalaysiaKini.

“Pembayaran faedah dibuat dua kali setahun mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Hok Liong bertanya kepada Kementerian Kewangan mengenai bayaran faedah bulanan yang diperlukan kerajaan untuk membayar hutang 1MDB.

Sebelum ini, media melaporkan setakat 30 Jun lalu, baki komitmen hutang 1MDB ialah sebanyak RM32.08 bilion.

Tengku Zafrul berkata, antara April 2017 dan Mei 2022 kerajaan menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah RM10.85 bilion melalui Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk melunaskan komitmen hutang dan faedah 1MDB.

Katanya, sehingga 30 Jun, jumlah dana 1MDB yang berjaya diperolehi semula ialah berjumlah RM19.28 bilion termasuk dalam pelbagai mata wang asing, seperti dolar AS, dolar Singapura dan dolar Australia. – Malaysiapost

Komen