Undi Tajuddin ditolak, keputusan undian usul lanjut SOSMA dipinda

Undi Tajuddin ditolak, keputusan undian usul lanjut SOSMA dipinda

KEPUTUSAN undian belah bahagian terhadap usul berkaitan lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA di Dewan Rakyat yang diluluskan pada 20 Julai lalu, dipinda hari ini.

Pindaan itu susulan undian dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diketepikan kerana beliau telah diarah keluar dan digantung selama dua hari daripada menghadiri sidang dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, menjelaskan pindaan itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 100.

Azhar memutuskan, undi dibuat Tajuddin seharusnya tidak diterima selepas digantung dari menghadiri sidang dewan oleh Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon ketika itu.

“Selalunya saya akan melihat insiden dan meninjau dari kamar saya (perjalanan sidang dewan). Tetapi pada hari itu, saya ada mesyuarat, saya melihat (persidangan menerusi televisyen). tetapi ‘volume’ itu saya ‘off’.

“Jadi saya lihat, tetapi tak tahu. Saya tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai penggantungan itu. Kalau saya tahu, saya tidak akan benarkan Pasir Salak (mengundi).

“Jadi, saya gunakan peratusan mesyuarat 100 untuk meminda keputusan belah bahagian dari usul Menteri Dalam Negeri pada 20 Julai 2022 iaitu daripada 105 bersetuju kepada 104 bersetuju dan tidak hadir dipinda dari 32 kepada 33, manakala undi yang menolak sebanyak 83 tetap sama,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun pindaan keputusan itu tidak mengubah kelulusan RUU berkenaan memandangkan undian Ahli Parlimen yang bersetuju masih melebihi yang tidak bersetuju.

Semalam, dua Ahli Parlimen menggesa tindakan diambil susulan mendapati undian Tajuddin dikira bagi usul melanjutkan Subseksyen 4(5) SOSMA walaupun wakil rakyat itu sudah diminta meninggalkan Dewan Rakyat pada 20 Julai lalu. – Malaysiapost

Komen