Wakaf di Malaysia sentiasa berinovasi – Idris

Wakaf di Malaysia sentiasa berinovasi – Idris

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berbesar hati melihat banyak idea-idea baharu yang dijelmakan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dalam usaha memartabatkan usaha wakaf.

Menurutnya, wakaf di negara ini sentiasa berinovasi demi memakmurkan wakaf dengan rakyat.

“Usaha-usaha penerangan ilmu wakaf juga mesti dipertingkatkan untuk membiasa dan memakmurkan wakaf dengan rakyat.

“Contohnya inisiatif wakaf air, wakaf masjid hijau, wakaf bencana, wakaf pendidikan dan pelbagai lagi.

“Tentunya YWM mesti sentiasa bergerak seiringan bersama-sama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) selaku pihak berkuasa agama negeri. Hubungan strategik ini perlu sentiasa dijaga sebaiknya untuk memastikan program dan halatuju wakaf tercapai,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Idris turut meluangkan masa dengan warga kerja YWM petang semalam dan mendengar sendiri suara daripada pegawai dan kakitangan yayasan itu.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar masyarakat sentiasa memberikan dukungan terhadap inovasi-inovasi wakaf yang digerakkan.

“Saya kongsikan bahawa dengan ketekunan warga kerja YWM melaksanakan tugas, ganjaran cukup besar yang Allah janjikan kerana kita berusaha meninggikan salah satu syariat agama iaitu wakaf,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen