Bubar Parlimen jika Bersatu terus desak jawatan TPM

Bubar Parlimen jika Bersatu terus desak jawatan TPM

PENYELESAIAN terbaik jika Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu terus mendesak untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, adalah membubarkan Parlimen.

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata, ini kerana sebarang pelantikan baharu jawatan dalam Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri tidak diperlukan ketika ini.

Tambahan pula, katanya, pelantikan jawatan itu hanya akan menambah jumlah anggota Kabinet yang sedia besar serta dianggap pembaziran bagi rakyat.

“Isu pelantikan TPM tidak perlu pun dibangkitkan ketika rakyat terus tertekan. Kelangsungan rakyat lebih utama berbanding ahli politik.

“Jika kerajaan tetap membuat keputusan melantik Timbalan Perdana Menteri, rakyat akan merasakan bahawa ia satu pembaziran yang tidak perlu.

“Tambahan lagi, pembubaran Parlimen semakin hampir dan jika benar, maka tidak perlulah lantikan Timbalan Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Lanchang turut berpendapat jika desakan berkenaan terus berlaku, Perdana Menteri sewajarnya memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen memandangkan tempoh penggalnya hampir tamat tahun depan.

“Daripada terus bergaduh soal jawatan Kabinet, lebih baik serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen