Hanya Azmin calon TPM pilihan Bersatu

Hanya Azmin calon TPM pilihan Bersatu

Aiman Hanif

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan calon tunggal yang dikemukakan Bersatu untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut sumber dalaman Bersatu, Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya membawa nama Azmin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi jawatan itu seperti mana perjanjian.

“Hanya nama Azmin yang Muhyiddin kemukakan kepada Perdana Menteri untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti mana perjanjian bahawa jawatan itu akan disandang wakil dari Bersatu.

“Namun, sehingga hari ini perbincangan lanjut mengenai perkara itu menemui jalan buntu apabila Perdana Menteri mengelak untuk bertemu Muhyiddin.

“Muhyiddin masih menunggu untuk bertemu Perdana Menteri bagi menuntut jawatan berkenaan seperti mana perjanjian sebelum ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Sumber yang juga salah seorang pemimpin tertinggi Bersatu berkata Azmin merupakan orang kepercayaan Muhyiddin berbanding yang lain.

Sebelum ini Bersatu menuntut supaya Perdana Menteri menunaikan janji dengan memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada parti itu.

Menurut Bersatu, perkara itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang telah dipersetujui bagi memberi laluan kepada Ismail Sabri.

Sementara itu, sumber berkata pemilihan Azmin sebagai calon Timbalan Perdana Menteri mungkin menyebabkan Ismail Sabri sukar untuk membuat keputusan itu.

“Semua maklum bahawa Umno tidak suka kepada Azmin. Jadi ini pasti menyukarkan Ismail Sabri untuk membuat keputusan.

“Sebab itulah beliau mengelak daripada berbincang mengenai perkara itu,” katanya lagi.- Malaysiapost

Komen