Maki pegawai Imigresen, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dituntut minta maaf

Maki pegawai Imigresen, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dituntut minta maaf

KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka susulan tindakan menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Permohonan maaf itu dituntut oleh Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yang melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tingkah laku biadap pegawai tertinggi awam kerajaan berkenaan.

Presidennya Khairil Niza Khairuddin, berkata kejadian berlaku antara jam 8.40 pagi hingga 9.40 pagi tadi di Balai Berlepas, KLIA yang bermula apabila tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA.

Menurutnya, pegawai Imigresen yang terbabit adalah Ketua Operasi Imigresen KLIA yang telah dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh ketua pengarah berkenaan.

“Tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai serta kakitangan Imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.

“Pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan ketua pengarah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sikap pegawai berkenaan yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa yang lain.

“Pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian rupa adalah merupakan seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja. Kejadian ini mengguris hati pegawai Imigresen keseluruhannya.

“KPISM menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada KPPA kepada pegawai tersebut dan kepada JIM keseluruhannya,” tegasnya.

Menurutnya, KPISM juga menggesa kerajaan dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar memandang serius perkara ini dan satu tindakan perlu diambil kepada penjawat awam yang sombong serta angkuh berkenaan.

“KPISM juga menyokong penuh segala tindakan yang akan diambil oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dalam perkara ini demi memartabatkan maruah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia.

“Seharusnya seorang pegawai tertinggi perkhidmatan awam perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada penjawat awam yang lain serta kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Penguasa Imigresen Malaysia (PPImM) pula menegaskan insiden berkenaan tidak akan melemahkan semangat semua pegawai dan kakitangan JIM.

Presidennya Supiani Sibin, berkata JIM akan sentiasa marak melaksanakan tugas kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

“PPImM ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan di JIM yang sentiasa menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan dedikasi.

“Setiap individu dalam Perkhidmatan Awam bertanggungjawab memahami dan mengamalkan nilai dan etika kerja dalam semua tindakan dan tingkah laku semasa menjalankan tugas,” katanya. – Malaysiapost

Komen