Dakwaan terhadap KPPA tidak berasas – JPA

Dakwaan terhadap KPPA tidak berasas – JPA

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, tidak berasas.

Dakwaan itu juga dikatakan bertujuan berniat jahat untuk menjatuhkan imej individu tersebut sebagai pegawai tinggi kerajaan.

JPA dalam kenyataan memaklumkan KPPA menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya pegawai bernama James Lee berikutan ketidakpatuhan amalan dan prosedur apabila pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.

Kenyataan itu menyebut, delegasi terbabit diarah terus ke kaunter pemeriksaan Kastam untuk meneruskan perjalanan.

“JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan serius di sisi udang-undang.

“Malah pegawai yang tidak mematuhi peraturan Imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menerusi kenyataan itu juga, JPA menegaskan bahawa teguran itu tidak dibuat di khalayak ramai.

Sebaliknya, kata jabatan itu, KPPA hanya menasihatkan pegawai tersebut supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.

Katanya, KPPA turut mengesyorkan supaya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelak sebarang ketidakpatuhan imigresen.

Berikutan itu, JPA amat kesal dengan kenyataan-kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“JPA ingin mengesyorkan supaya perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

Dakwaan berhubung tindakan seorang pegawai tertinggi kerajaan dengan seorang pegawai Imigresen itu mulai tersebar di media sosial semalam, melalui satu mesej dikatakan daripada Ketua Pengarah Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kemudian dilaporkan mengesahkan kejadian yang tular itu tetapi mengakui tidak tahu punca sebenar.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan sudah memberi arahan kepada Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dalaman susulan kejadian itu. – Malaysiapost

Komen