Noh, Mizz Nina umumkan sudah bercerai

Noh, Mizz Nina umumkan sudah bercerai

IKATAN perkahwinan selama 11 tahun bagi pasangan artis Noh Salleh dan Mizz Nina akhirnya terlerai apabila kedua-duanya mengesahkan sudah bercerai.

Noh yang juga vokalis kumpulan Hujan, dan Mizz Nina berkongsi berita perpisahan secara serentak menerusi laman Instagram masing-masing, hari ini.

Kedua-duanya memaklumkan keputusan itu dibuat bersama, namun mereka tidak berkongsi tarikh perceraian.

“Noh dan saya ada pengumuman penting untuk dimaklumkan.

“Selepas berfikir panjang dan pertimbangan teliti, kami secara bersama bersetuju untuk berpisah dan meneruskan hidup mengikut haluan masing-masing.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kami meluangkan masa bersama selama 11 tahun yang cukup indah, penuh pasang surut dan pengembaraan,” kata Mizz Nina di Instagramnya.

Noh, 37 dan Mizz Nina, 42, mengucapkan terima kasih kepada semua yang penyokong mereka yang memberikan sokongan selama ini.

“Jangan risau, kami tetap berkawan dan mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.

“Kita hanya boleh merancang, tetapi perancangan Allah lebih baik. Banyakkan berdoa untuk kami terutama dalam tempoh edah ini,” katanya.

Kedua-duanya juga menghargai sekiranya semua pihak menghormati privasi mereka.

“Memetik surah al-Hujurat ayat 12, jangan membuat spekulasi atau menyebarkan andaian palsu mengenai kami bagi mengelakkan fitnah.

“Doa anda kami perlukan,” katanya lagi.

Terdahulu, Noh dan Mizz Nina dikatakan sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, di sini, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Noh dan Mizz Nina memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 14 Jun lalu.

Difahamkan, perceraian di bawah kod kes 055 iaitu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.

Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh dan Mizz Nina yang nama sebenarnya Shazrina Azman mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011.

Pasangan berkenaan mengambil anak angkat, Baby Musa pada Mac lalu. – Malaysiapost

Komen