Penduduk lega projek pembinaan CLQ dibatalkan – Reezal Merican

Penduduk lega projek pembinaan CLQ dibatalkan – Reezal Merican

KEPUTUSAN pemaju bersetuju membatalkan projek pembinaan kuarters pekerja berpusat (CLQ) di Taman Teknologi Pulau Pinang, Bertam Perdana, Kepala Batas, disambut baik oleh penduduk yang membantah projek berkenaan.

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mengalu-alukan keputusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pemaju yang tidak meneruskan projek berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah.Penduduk-penduduk di kawasan Bertam, Kepala Batas boleh berasa lega berikutan keputusan pemaju projek Taman Teknologi Pulau Pinang bersetuju untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan CLQ di kawasan ini setelah mengambil kira pandangan penduduk setempat, pimpinan tempatan serta jabatan-jabatan teknikal terlibat.

“Saya mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pemaju kerana telah mendengar pandangan, juga bantahan pimpinan tempatan dan penduduk setempat terhadap cadangan projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah memudahcara, mengadakan sesi libat urus dan mengambil kira bantahan penduduk setempat dan pimpinan tempatan terhadap cadangan projek berkenaan.

“Saya akan terus memantau dengan teliti cadangan-cadangan pembangunan di Parlimen saya bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk sentiasa terjamin, selamat dan Kepala Batas kekal menjadi kawasan menarik dan berdaya huni,” katanya. – Malaysiapost

Komen