Projek LCS: MINDEF teliti laporan PAC, ambil kira syor dikemukakan

Projek LCS: MINDEF teliti laporan PAC, ambil kira syor dikemukakan

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) serta pemegang taruh akan meneliti laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) secara terperinci.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, MINDEF juga semestinya akan mengambil kira kesemua syor yang dikemukakan PAC dalam meneruskan projek LCS selepas ini.

“Saya ambil maklum dapatan Laporan PAC mengenai projek LCS yang dikeluarkan tengahari tadi.

“Kami sendiri di pihak MINDEF telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus semasa menghadiri prosiding-prosiding serta proses siasatan yang dilakukan PAC.

“Reaksi awal saya berhubung perkara ini adalah Kementerian Pertahanan serta semua pemegang taruh (stakeholders) akan meneliti laporan tersebut secara terperinci dan semestinya akan mengambil kira kesemua syor yang dikemukakan PAC dalam meneruskan projek LCS selepas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, seperti dimaklumkan pada April lalu, Kabinet juga bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan.

“Ini bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM dan vendor seterusnya memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MOF) serta Ketua Setiausaha MINDEF.

“Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi dalam tempoh enam bulan ini dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet,” katanya.

Sementara itu, berhubung kelemahan dan penyelewengan, beliau konsisten menegaskan bahawa siapa jua yang bersalah akan tetap bersalah.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih sedang berjalan dan ini bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini tidak akan terlepas begitu sahaja.

“PAC sendiri telah mengesyorkan supaya SPRM mempercepatkan siasatan dan menyegerakan pendakwaan. Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Melangkah ke hadapan, perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan projek LCS ini dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, LCS aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara, sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5, dan demi kepentingan TLDM.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa sekurang-kurangnya sebanyak RM890 juta dana telah diselewengkan daripada pengendalian projek LCS yang bermula pada 2011.

Rafizi berkata, penyelewengan itu antaranya membabitkan tindakan penipuan melalui wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak dan duplikasi kontrak dengan tuntutan berganda. – Malaysiapost

Komen