TUDM kerjasama jayakan filem ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’

TUDM kerjasama jayakan filem ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) bekerjasama dalam menjayakan penggambaran filem ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’ dengan memberi bantuan aset dan kepakaran teknikal.

TUDM dalam kenyataan menerusi Facebook, berkata ia bagi mendatangkan kesan yang jitu dalam memaparkan aksi sebenar pesawat TUDM.

“Bagi penggambaran aksi pesawat, sebuah pesawat C-130H telah digunakan untuk membawa kru penggambaran dan merakamkan aksi dari ramp pesawat.

“Bagi aksi dogfight pula, pihak PUSPEKA telah menyiapkan ‘Aerial Camera Pod’ untuk dipasang pada pesawat Su-30MKM yang menempatkan beberapa kamera pada sudut yang berbeza.

“Kamera juga turut dipasang pada pesawat EC 725 AP dan F/A-18D bagi memperlihatkan aksi juruterbang di dalam kokpit,” menurut kenyataan itu.

TUDM berkata, sesi penggambaran pula dijalankan dengan merakam aksi pesawat yang sedang menjalani latihan rutin seperti pertempuran udara dan serangan darat di beberapa lokasi sekitar Semenanjung Malaysia.

‘Airforce The Movie: Selagi Bernyawa’ diterbitkan oleh gabungan lima produksi gergasi tempatan iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FX Hammer Films dan SixFun Media.

Selain Adi Putra, filem arahan bersama oleh Zulkarnain Azhar dan Frank See ini turut dibintangi pelakon lain seperti Aiman Hakim Redza, Nas-T, Scha Alyahya, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan dan ramai lagi. – Malaysiapost

Komen