Tun M tubuh GTA untuk lawan Umno

Tun M tubuh GTA untuk lawan Umno

GERAKAN Tanah Air (GTA) yang menjadi gabungan politik Melayu baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat untuk bertanding di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mahathir yang juga Pengerusi GTA berkata, gerakan itu akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi Umno.

“Kita jemput orang Melayu saja bukan kerana kita perkauman…tidak, tetapi kerana usaha kita tertumpu untuk melawan sebuah parti Melayu yang telah menyeleweng iaitu Umno.

“Untuk lawan dengan Umno…kalau kita kalau kita bukan parti Melayu, orang Melayu tidak akan sokong.

“Sebab itu kita buat parti Melayu guna untuk melawan parti Melayu yang sudah menyeleweng, parti Umno khususnya,” katanya dalam sidang media pengumuman gerakan baru itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang ini.

Menurutnya, gerakan politik baru itu ditunjangi empat parti politik Melayu iaitu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Putra Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, GTA juga membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan golongan profesional Melayu.

Beliau berkat, kesemua presiden parti dalam gabungan itu dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GTA.

“Calon kita nak letak (bertanding) di 120 kerusi, sudah tentu ada kerusi ditandingi Umno.

“Kita akan bertanding di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu,” katanya.

Dr Mahathir berharap gerakan itu mendapat sokongan dan menjemput orang Melayu yang berasa curiga dengan masa depan mereka untuk menyertai gabungan itu bagi membela nasib orang Melayu.

Jelasnya parti itu adalah bertujuan untuk membela serta menyelesaikan masalah yang dihadapi orang Melayu sejak sekian lama iaitu kemiskinan.

“Bukan untuk merampas harta orang bukan Melayu, bukan untuk menyekat orang bukan Melayu cari kejayaan. Tetapi untuk betulkan supaya orang Melayu dapat haknya.

“Kita yakin ramai akan beri sokongan kepada kita.

“Kita tak akan terlibat dengan kluster mahkamah atau rasuah, parti yang ada bersama kita, tiada terpalit dengan rasuah atau jenayah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pihaknya akan mendaftarkan GTA secara rasmi dalam masa terdekat ini.

Oleh itu pihaknya berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bermurah hati untuk meluluskan pendaftaran gerakan itu, seperti mana ROS meluluskan permohonan Umno untuk tangguhkan pemilihan.

Sementara itu, ditanya mengenai calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi gabungan itu, beliau memaklumkan ia akan ditentukan selepas PRU-15.

“Tiada ‘poster boy’ tiada ‘poster man’, hanya perjuangan untuk keadilan,” katanya. – Malaysiapost

Komen