5 lelaki disyaki seludup diesel direman empat hari 

5 lelaki disyaki seludup diesel direman empat hari 

LIMA lelaki tempatan yang ditahan ketika sedang menyedut diesel daripada empat lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Pangkalan Haram Tualang di Tumpat, Kelantan semalam, direman empat hari bermula hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan, berkata permohonan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret Kota Bharu.

“Semalam, KPDNHEP Kelantan menerima serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 8, berhubung Op Wawasan dan pencegahan ketirisan barang kawalan di sempadan negara di Kelantan. 

“Serahan mengenai rampasan minyak diesel dengan anggaran sebanyak 150 liter bersama lima kenderaan berpendaftaran Malaysia dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM 430,372.50,  kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP turut merampas peralatan penyedut minyak petrol dirampas di lokasi Pengkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor, Tumpat Kelantan.

“Semasa serbuan juga suspek sedang menyedut minyak diesel daripada tangki kenderaan ke dalam tong-tong plastik dengan mengunakan hos getah dan pam penyedut minyak daripada empat lori dan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero 4×4,” katanya. – Malaysiapost

Komen