Anwar tak senang lihat usaha murni Dr M satukan Melayu – Khairuddin

Anwar tak senang lihat usaha murni Dr M satukan Melayu – Khairuddin

SEORANG pemimpin Parti Pejuang menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa tidak senang melihat usaha murni Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatu-padukan, seterusnya menguatkan kedudukan bangsa Melayu.

Ia susulan Ketua Pembangkang itu menolak gagasan baharu Melayu-Islam pimpinan Dr Mahathir melibatkan beberapa parti politik yang dilancarkan di Putrajaya semalam.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata pendirian serta pendekatan Dr Mahathir untuk menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) telah menyebabkan kebimbangan Anwar yang sedang ditolak oleh orang Melayu.

“Keseluruhan bangsa Melayu sudah hilang keyakinan dengan Anwar. Orang Melayu sudah tidak boleh terimanya lagi kerana semua mengetahui beliau adalah ‘kaki penipu’ yang tidak bermaruah.

“Jangan ‘jaga tepi kain orang lain’ sebaliknya Anwar Ibrahim harus urus tadbir Pakatan Harapan (PH) baik-baik, kerana beliau sendiri pun sudah tidak laku lagi. PH pun amat bermasalah kini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Khairuddin berkata Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun telah membuktikan serta berjaya melaksanakan agenda Melayu secara berkesan, tanpa menganiayai hak bangsa lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa itu katanya, negara menjadi maju, aman makmur dalam pelbagai segi dan keseluruhan rakyat dapat hidup secara rukun aman damai.

“Bangsa Melayu amat berjaya di bawah pentadbiran Dr Mahathir pada waktu itu. Ekonomi Melayu mula berkembang dan jumlah tenaga profesional Melayu amat menyerlah ketika beliau menjadi Perdana Menteri kali pertama dahulu.

“Sejak dari awal pembabitan Dr Mahathir dalam arena politik beliau sudah pun perjuang nasib anak bangsa secara amat konsisten sehingga kini,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang semalam mengumumkan penubuhan gabungan baharu dikenali sebagai Gerakan Tanah Air (GTA).

Gabungan yang mahu bertanding di 120 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum akan datang itu dianggota Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan serpihan PAS Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). – Malaysiapost

Komen