Azhan Rani kembali semula sebagai adiwira darah

Azhan Rani kembali semula sebagai adiwira darah

SELEPAS tangguh enam bulan kerana menjalani prosedur pembedahan akibat terbabit kemalangan, pelakon Azhan Rani kembali menjadi adiwira darah.

Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Facebook rasminya memaklumkan perkara itu dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Azhan kerana masih meneruskan usaha menderma darah walaupun mengambil masa enam bulan untuk pulih daripada pembedahan.

“Selamat kembali menjadi adiwira darah, Azhan Rani. Untuk makluman, sebelum ini, Azhan Rani perlu menangguhkan pendermaan darah selama enam bulan selepas menjalani prosedur pembedahan.

“Terima kasih kerana tidak berputus asa untuk terus menjadi adiwira darah di Pusat Darah Negara.

“Semoga diberikan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada insan yang memerlukan,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Azhan, 45, menjalani pembedahan pada tulang belikat susulan kecederaan dialami akibat terbabit kemalangan.

Pelakon drama Nur itu terbabit dalam kemalangan motosikal di Rawang, pada 16 Januari kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian itu, Azhan mengalami kecederaan pecah tulang belikat dan tulang bahu dan rusuknya retak.

Ketika kejadian, Azhan yang dalam perjalanan ke lokasi penggambaran dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi berlanggar dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki. – Malaysiapost

Komen