‘Berhenti tuntut jawatan dalam kerajaan, fokus isu rakyat’ – Khairuddin

‘Berhenti tuntut jawatan dalam kerajaan, fokus isu rakyat’ – Khairuddin

AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan adalah wajar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan sekiranya konflik tuntutan jawatan dalam kerajaan masih berterusan.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu, berkata sepatutnya pemimpin kerajaan memberi fokus terhadap usaha menstabilkan ekonomi negara selepas pandemik, bukan sibuk dengan tuntutan jawatan.

“Fokus rakyat sekarang ialah kestabilan ekonomi pasca Covid bukannya tuntutan jawatan dalam kerajaan. Pemimpin kerajaan perlu menunjukkan signal tersebut kepada rakyat.

“Jika signal perebutan jawatan terus di pertontonkan maka sebaiknya PRU disegerakan kerana lagi lama berkerajaan nanti makin membengkak pula nanah yang boleh menjadi barah,” katanya.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama itu berkata, usaha-usaha konkrit termasuk penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa antara inisiatif yang disenangi rakyat.

“Fokus pada penyelesaian inflasi sepertimana pasukan jihad inflasi yang diamanahkan kepada Tan Sri Anuar Musa bagus untuk kerajaan di mata rakyat,” katanya.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak namun teguran itu dipercayai mempunyai kaitan dengan isu tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Perikatan Nasional (PPN).

Terdahulu, sebuah media berbahasa Inggeris melaporkan, PN sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia susulan tindakan Ismail Sabri yang didakwa tidak menunaikan perjanjian untuk melantik Ahli Parlimen Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah, Ismail Sabri dijadual bertemu delegasi PN semalam berhubung perjanjian itu, namun membatalkannya pada saat akhir.

Delegasi PN merangkumi Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – Malaysiapost

Komen