Kejayaan Khairul Aming jadi aspirasi anak muda – Tun M

Kejayaan Khairul Aming jadi aspirasi anak muda – Tun M

KEJAYAAN selebriti media sosial, Khairul Aming yang meraih jualan produk Sambal Nyet sebanyak RM14 juta menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, beliau mengikuti perjalanan Khairul Aming yang dahulunya dikenali sebagai ‘content creator’ resepi masakan ringkas, sehingga menjadi usahawan berjaya.

Katanya, kejayaan Khairul Aming harus menjadi aspirasi buat anak muda lain yang perlu keluar dari zon selesa untuk berjaya.

“Saya ikuti kisah Khairul Aming yang dahulunya seorang content creator resepi ringkas memasak hingga dapat sambutan luar biasa dan buka kilang sambal sendiri.

“Syabas anak Melayu yang berani keluar dari kepompong keselesaan. Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak muda lain.

“Ya, hanya yang cekal dan tabah dapat membina kejayaan. Tahniah Aming!

Semalam, Khairul Aming menerusi video di laman sosial berkongsi kegembiraannya apabila jualan produk Sambal Nyet keluarannya kini mencecah satu juta botol dengan hasil diraih sebanyak RM14 juta.

Lebih membanggakan, Khairul turut mengumumkan pembukaan kilang keduanya di Kelantan, yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Tambahnya, dengan pembukaan kilang kedua itu, ia akan menambah pengeluaran produk Sambal Nyet serta menghasilkan produk kedua. – Malaysiapost

Komen